Isnin, 23 November 2009

Kisah Menyayatkan Hati


Tom dan anaknya Tikki


Tiga anak Tom dan seekor lagi anak susuan


Gambar anak Tom iaitu Tikki


Gambar anak Tom iaitu Tommy


Hari ini hari yang menyedihkan buat diriku dan anak-anak ku. Kucing kesayangan kami iaitu Tom dan keluarganya telah pergi buat selama-lamanya. Semalam anaknya yang paling comel dan paling besar dan paling periang sekali dah meninggalkan kami buat selama-lamanya iaitu Tommy. Simptom penyakit mereka ialah muntah keluar lendir putih tak berhenti-henti... disusuli dengan demam dan akhir sekali sesak nafas. Hinggakan anak Tom yang dulu sebelum kena kemalangan iaitu Kent juga sudah mati akibat simptom yang sama. Sesungguhnya kami sekeluarga rasa terkilan dan ralat kerana jangka hayat Tom dan keluarganya bersama kami sungguh singkat.... Penyakit yang menyerang mereka juga cukup cepat. Lepas mereka muntah-muntah. Esoknya mereka sudah tidak bermaya.... Jiran yang lain yang juga suka membela kucing juga memberitahu kucingnya pun sakit....... Mungkin ini wabak baru............ yang melanda kucing.... Saya tak pasti kerana saya bukan doktor haiwan dan pencinta kucing. Yang pasti anak-anak saya akan merindui kucing mereka yang bernama Tom, Timmy, Tommy dan Tiki.............. Masih teringat-ingat di mata saya bagaimana riangnya anak-anak kucing ini bermain berlari-lari dan kejar mengejar antara satu sama lain. Kini semuanya tinggal kenangan...... Sesungguhnya hayat Tom bersama kami sungguh singkat.............. Kami pasti merinduinya................

Jumaat, 13 November 2009

Aiman ............. Tak kisah



Tajuk di atas tidak ada kena mengena dengan budak yang bernama Aiman..... Saya hanya nak meminjam dialog iklan tersebut sahaja. Baru-baru ini anak saya yang sulung Nurul Hidayah menghadapi peperiksaan penilaian kendalian sekolah rendah akhir tahun di mana soalannya digubal oleh Majlis Guru Besar Daerah Hulu Langat. Pada pertengahan tahun peperiksaan saya tidak begitu mengambil berat mengenai peperiksaan anak saya ini. Saya biar dia menghadapi peperiksaan itu sendiri iaitu saya menyuruh anak saya mengulangkaji sendiri tanpa saya memantau ulangkaji anak saya. Ini kerana dulu ibubapa saya pun tidak pernah mengambil berat tentang pelajaran saya namun saya berjaya memperolehi markah yang tinggi. Oleh yang demikian saya juga mengharapkan anak saya begitu juga... Saya hanya mendoakan kejayaannya. Namun ternyata tindakan saya itu tidak tepat.... Keputusan anak saya cukup teruk matematiknya pun mendapat 55% iaitu C. Bayangkanlah bapanya adalah akauntan dan ibunya pun bekas akauntan tetapi markah matematik anaknya C. Suami saya menasihati saya dengan menyatakan bukan semua adik-beradik kita berjaya hanya segelintir sahaja. Dan kita ini adalah antara yang bernasib baik kerana berjaya. Terima kasih abang kerana menasihati saya. Dengan nasihat suami saya maka saya pun berubah dengan mengambil berat mengenai peperiksaan akhir tahun anak kami. Saya belikan buku latihan dan saya buat bersama-sama anak saya. Saya beritahu kata kunci untuk memahami solan matematik tersebut. Lama-lama anak saya seronok membuat latihan matematik. Walaupun bahasa english digunakan dalam soalan matematik ianya tidak menjadi halangan lagi untuk saya. Malahan anak saya dah berminat dalam subjek matematik. Berkat ibunya mengajar agaknya. Dalam masa 2 minggu anak saya dapat menyiapkan 3 buah buku latihan matematiksebelum tarikh peperiksaan tersebut. Akhirnya anak saya mendapat markah 84%. Sesungguhnya pengajaran yang saya dapat disini kita sebagai ibubapa tidak boleh bersikap lepas tangan didalam pelajaran anak kita. Kitalah guru yang guru yang terbaik untuk anaknya. Seperti yang dinyatakan didalam ayat al-quran "Ibubapalah yang akan mencorak anaknya sama ada Islam, Yahudi atau Nasrani". Ini kerana kita yang lebih memahami kelemahan dan kelebihan anak kita. Kita juga tidak boleh menyamakan zaman kita sama dengan zaman anak kita. Seperti individu yang lahir itu adalah berbeza. Apabila saya meluangkan masa mengulangkaji dengan anak saya kebanyakan markahnya adalah 80% ke atas. Jimat belanja tuisyen, markah macam pergi tuisyen. Berbaloi-baloi bak kata iklan celcom. Insya-Allah saya rasa saya akan terus mengajar anak saya selagi mereka diperingkat sekolah rendah...... Semoga Allah memberikan saya hikmah untuk mengajar anak saya. Amin.

Selasa, 4 Ogos 2009

PENGORBANAN GURU TADIKA




Hari ini genaplah 7 bulan aku mengajar di sekolah Tadika Anakku Bijak Cergas. Aku menyaksikan sendiri perkembangan anak-anak murid ku yang berumur 4 tahun. Dulu suka menangis, kini dah menjadi pelajar yang paling rajin membantuku di sekolah.
Daripada tidak tahu memegang pensil sekarang sudah pandai menulis nombor 1 sehingga 5. Bahkan sudah pandai menulis huruf Aa sehingga Ll. Terharunya aku. Anak-anak muridku seramai 11 orang sudah ramai yang pandai menulis, mengira dan membaca. Mereka sudah boleh membaca dua suku kata. Alhamdulilah.......
Aku teringat kata-kata bekas teman sekerja ku dahulu "Anak siapalah yang malang mendapat kau sebagai guru". Aku menganggap kata-kata itu sebagai dorongan untuk ku buktikan bahawa anak-anak murid ku boleh ku didik menjadi anak-anak yang bijak dalam agama, baik akhlaknya serta pandai. Apakah benar kata-kata bekas rakan sekerja ku dahulu.....??? Persoalan itu hanya dia yang mampu menjawabnya. Yang ku pasti....aku ini guru kesayangan mereka, sehingga guru besar sekolah ku pun pernah berkata "Sayang sungguh kamu yea dengan Cikgu Sarah". Dan anak-anak muridku menjawab dengan senyuman manis mereka.....
Bagaiku pengorbanan guru tadika dalam mendidik anak-anak muridnya mengenal huruf, mengenal nombor, menulis, mengira serta membaca tidak terbalas. Bahkan kini baru ku mengerti sebenarnya pengorbanan guru tadika adalah yang paling besar. Mereka mengajar kita serta anak-anak kita mengenal huruf, mengenal nombor dan membaca suku kata....
Tetapi aku sudah lupa nama guru tadikaku... Almaklumlah aku hanya sekolah tadika kemas.... Aku paling suka pergi sekolah bila time makan....... Itu jer kenangan mengenai sekolah tadika yang ku ingat. Seperti yang sering ku katakan pada anak-anak murid ku . "Apa yang penting". moga Allah mencucuri rahmat ke atas jasa guru tadika ku dulu.

Jumaat, 29 Mei 2009

muliakan jiran dan tetamu


Besar ganjaran yang Allah berikan kepada mana-mana hambanya yang memuliakan jiran dan tetamu berdasarkan kepada hadis berikut :- Hadis dari Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “ Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan kebaikan ataupun diam, Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya, Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya “ Riwayat Bukhari dan Muslim.

Apa yang ingin saya kongsikan adalah kelebihan yang diperolehi dengan memuliakan jiran dan tetamu. Baru-baru ini iaitu pada 9/5/2009 rakan saya dan suami iaitu Tuan Haji Ramlan bercadang datang ke rumah untuk menceritakan tentang STG. Lalu saya pun memasak jaudah ringan untuk hidangan tetamu serta jiran tetangga untuk sarapan pagi. Saya menjemput jiran tetangga kami yang kenal dengan Tuan haji. Dalam lebih kurang 7 orang yang datang semuanya. Keesokkannya saya menjamu jiran tetangga yang lain pulak untuk sarapan pagi. Tengahhari itu datang pulak salah seorang ahli kumpulan Al-Munawarah iaitu kelab yang baru saya sertai iaitu awal bulan ini. Banyak faedah yang dapat dengan menjadi ahli kelab ini iaitu ceramah agama, kelas jahitan, kelas masakan, hadiah hari lahir, hadiah hari ibu dan lain-lain. Untuk dapat hadiah saya perlu sah menjadi ahli dalam masa 3 bulan. Ahli kelab ini adalah surirumah belaka. Berkat daripada memuliakan jiran dan tetamu maka saya mendapat hadiah 3pc towel set daripada aussino serta sekuntum bunga. Sesungguhnya di dunia lagi Allah telah menunjukkan keberkatan dengan memuliakan jiran serta tetamu apatah lagi ganjaran yang menunggu umat Islam di Akhirat kelak untuk sesiapa yang memuliakan tetamu dan jirannya. Ambillah kesempatan daripada hadis di atas dengan sentiasa memuliakan tetamu dan jiran.

Sabtu, 9 Mei 2009

Pengorbanan Tiada Tolok Bandingan



Hari ini aku didakap oleh anakku sambil mengucapkan "Selamat Hari Ibu". Hatiku terasa terusik lantaran aku tidak bisa lagi merasai pelukan ibuku apatah lagi mendengar suaranya memanggil namaku "Adik!Adik!Adik". Ya!Allah berilah aku kekuatan menghadapi musibah ini dan moga-moga aku redha dengan takdir yang menimpa diri ibuku.

Ibuku sudah terlantar sakit terbaring tanpa boleh bergerak dan bercakap. Lebih kurang 4 tahan 8 bulan ibuku sakit akibat "stroke" kerana sakit darah tingginya. Ini menyebabkan ibuku lumpuh seluruh badan buat kali kedua. Waktu serangan pertamanya iaitu 22/9/2002 hanya sebelah kanan sahaja boleh bergerak. Kena serangan yang kedua terus ibuku tidak boleh bergerak lagi. Ibuku juga makan melalui tiub yang dimasukkan terus ke dalam perut. Ibuku tidak dapat merasai nikmat makanan kesukaannya seperti puding karamel dan juga putu bambu. Apa yang ibuku makan hanyalah nasi yang diblend, susu ensure dan cereal sipirulina. Air kencing ibuku juga disalurkan melalui tiub. Setiap kali orang melawat ibuku mereka kata seumpama mayat hidup.... Meruntun hatiku bila dengar orang berkata begitu. Namun aku yakin Ibuku adalah insan terpilih kerana itulah Allah memberinya sakit sedemikian rupa. Bak kata ustaz ada 2 golongan yang Allah memberi sakit sedemikian rupa:-
1). Ianya mengampunkan dosanya dan juga meningkat iman ahli keluarganya
2). Ingin mengangkat darjatnya keperingkat tertinggi di mana setiap doanya makbul.
Aku pasti ibuku termasuk dalam kedua-dua golongan. Insya-Allah.

Apa yang ku sedihkan kerana ibuku tidak dapat meluahkan perasaannya kepada kami umpama "Jasad Terpenjara Jiwa Terseksa". Orang lain sibuk membeli hadiah untuk ibuku. Aku hanya memikirkan cukup tak bekalan pampers ibuku, bekalan susunya dan juga cerealnya. Sudah tukar baru tiub ibuku. Itu sahaja yang terlintas di kepala otakku. Tiada bunga atau makan malam yang dapat ku hadiahkan kepada ibuku. Hanya titipan doa semoga ibuku sihat seperti biasa.

Sempena Hari Ibu nie (tiap-tiap hari, hari ibu) ambillah kesempatan mengunjungi ibu bukan wang ringgit yang diharapkan hanya sedikit masa dan perhatian tanda kasih kita kepada ibu. Buat mereka yang tiada ibu, panjatkanlah doa setiap kali solat semoga ibu kalian ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Kepada ibu, walaupun ibu tidak boleh meluahkan kata-kata, namun anakmu yakin ibu pasti mengerti apa yang berlaku disekeliling ibu. Maafkan anakmu ini buat yang kesekelian kali kerana tidak dapat menjadi anak yang terbaik. Semoga Allah memberi kekuatan kepada ibu untuk menghadapi setiap dugaan dan memberikan kekuatan kepada anak-anakmu semua menghadapi dugaan ini. Semoga Allah memberi peluang kepada saya untuk menjadi peneman ibu di Makkah Al-Mukaramah tahun ini (sebagai hadiah hari ibu). Ya!Allah sembuhkan Ibuku seperti sediakala agar aku biasa menjadi penemannya untuk menjadi tetamumu yang paling istimewa.

Selamat Hari Ibu kepada semua Ibu-Ibu di dunia dan sesungguhnya pengorbanan kalian tiada bandingannya. Dan sesungguhnya setiap hari adalah hari Ibu. Ibukan seperti matahari. Ibulah penyeri hidup kami.

Selasa, 5 Mei 2009

Makbul Doa



Aku masuk kelas seperti biasa mengajar murid-murid 3 dan 4 tahun. Tiba-tiba hujan dengan lebatnya. Aku pun merenung anak-anak muridku lalu berkata "Habis basahlah baju yang cikgu baru jemur pagi tadi". Salah seorang anak muridku iaitu Izat berkata "Cikgu baliklah angkat kain dulu". Aku pun berkata "Jauh ler rumah cikgu, kalau cikgu balik pun mesti baju dah basah".

Apa kata kita berdoa kepada Allah dan doa supaya hujan berhenti. Lalu anak-anak muridku pun menadah tangan ke langit dan berdoa. "Ya!Allah biarlah hujan berhenti supaya baju cikgu kering. Amin" dan mereka pun mencium tangan masing-masing. Tidak sampai 2 minit hujan pun berhenti dan matahari pun keluar dengan terang benderangnya... Dalam hatiku pun berkata-kata.. "Alhamdulilah makbul doa mereka yea".

Habis kelas dalam sekitar pukul 11.15 pagi aku pun balik rumah. Sesampai aku dirumah aku pun bertanya auntie selang sebuah rumah(Cina)yang sedang menjemur kainnya "Auntie tadi hujan ker" Aku bertanya kerana musykil memandangkan semua baju yang ku jemur tadi kering belaka malahan siap jatuh ke lantai lagi. "Hujan tapi kejap sahaja, Auntie nak angkat tapi pintu pagar kunci" Lihatlah betapa prihatinnya jiran cinaku ini.

Aku pun termenung sekejap bukankah tadi anak-anak muridku sudah doakan. Aku teringat kisah Nabi Muhammad s.a.w. Setiap kali beliau berasa badannya tidak sihat, beliau pasti memberikan wang kepada kanak-kanak sambil meminta agar mereka mendoakan beliau sihat kembali. Mereka suci dari dosa dan pasti doa mereka makbul. Bukankah salah satu keadaan yang makbul doanya bila hujan turun lebat. Ustaz juga ada menyatakan Allah suka kepada mereka yang mencium tangannya selepas berdoa walaupun tangan kita berbau ikan.... Anak-anak muridku mencium tangan mereka selepas berdoa.... Aku pasti doa mereka makbul kerana mereka adalah anak-anak yang suci bersih.

Namun sekiranya kita berdoa dan doa kita makbul itu tandanya Allah sayang kepada kita, Sekiranya doa kita tidak makbul, tandanya Allah sedang menguji kita untuk meningkatkan iman kita. Yang pasti apa yang baik pada pandangan kita belum tentu ianya baik untuk kita, dan tidak semestinya sesuatu yang tidak baik pada pandangan kita adalah tidak baik untuk kita. Allah pencipta kita pasti Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita selaku hambanya. Bersangka baik dengan Allah Rabulallamin.

Jumaat, 17 April 2009

Menjana Pendapatan

Aku ingin menyambung cerita tentang KPI ku. Bab menjana pendapatan. Aku kerja sebagai guru tadika sahaja. Masa kerja ku pula 3 jam sehari.... Alhamdulilah gajiku berada dalam lingkungan 3 angka cuma bawah banyak sikit dr pencen org kerajaan.

Alhamdulilah gaji itu gaji bersih ku ler... Ini kerana pengajian anakku (Iman Sofiyah) ditadika ditanggung beres oleh majikan tempatku bekerja. Almaklumlah anakku belajar ditempat yang sama denganku. Untuk anakku yang ketiga plak (Amal Nadhirah) pun ditanggung beres kerana menghantarnya di taska majikan yang sama. Wang gajiku ini dapatlah ku sumbangkan sedikit kepada kedua orang tuaku di kampung.

Duit minyak keretaku ke tempat kerja serta menghantar anak sulungku (Nurul Hidayah) ke sekolah. Alhamdulilah mencukupi. Ini kerana aku menolong jiran-jiranku untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah. Iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah agama yang sama dengan anakku serta anak-anak muridku seramai 6 orang yang naik keretaku. Dengan ini dapatlah menampung duit minyak keretaku untuk sebulan.... Alhamdulilah....

Aku juga ada berniaga kecil-kecilan iaitu menjual pemerah susu untuk para ibu yang bersalin. Tujuan aku berniaga ini bukannya apa untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Aku nak semua ibu-ibu yang berkerja ini dapat menyusukan anak masing-masing. Ini kerana Islam amat menitik beratkan tentang penyusuan ibu ini. Bahkan Islam menggalakkan agar para bapa memberi wang kepada isteri mereka yang menyusukan anak. Susu itukan anugerah daripada Allah. Seelok-eloknya kita manfaatkan segala pemberian Allah s.w.t. Tiada sesuatu pun yang Allah jadikan itu sia-sia. Harga yang ku kenakan adalah "Baik punya". Jiranku paling banyak menolong ku berniaga... Alhamdulilah...... Sesiapa ingin membeli pemerah susu jenama spectra bolehlah menghubungiku di laman ini.



Gambar Spectra 3 dengan 2 breast shield

Aku juga sedang belajar membuat kek, baru-baru ini aku ada buat kek coklat untuk anakku (Iman Sofiyah sempena birthday yang kelima). Seorang daripada ibu anak muridku ingin menempah kek yg aku buat sempena birthday anaknya bulan depan... Alhamdulilah bertambahlah rezekiku.... Boleh dikatakan aku ini sedang belajar berbagai-bagai masakan bukannya apa untuk menolong menambahkan pendapatan keluarga........


Contoh kek

Aku juga mengikuti kelas jahitan di Kolej Komuniti. Aku hanya perlu membayar RM20 untuk 12 jam. Aku rasa berbaloi. Sekarang ini aku tengah belajar membuat blaus dan juga slack. Aku belajar ini ikhlas kerana Allah s.w.t. Ini kerana nak mencari blaus yang menutup aurat cukup susah untuk orang yang kecil molek seperti ku. Kalau ada pun. Lengan pendek, Labuh baju takat atas punggung jer.... Payah, payah... nak cari baju yang menutup aurat. Semoga Allah menambahkan kefahaman aku dalam menuntut ilmu ini..... Aku berhasrat nak buat gaun untuk anak-anakku. Almaklumlah aku mempunyai 3 orang anak perempuan. Bila dah pandai aku boleh ler meniaga gaun plak... Bijak!Bijak!

Yang pasti ianya perubahan kerana yang positif. Walaupun aku tidak lagi bekerja di pejabat namun aku perlu pastikan yang aku juga membantu dapat menyumbang ekonomi untuk keluargaku.... Untuk semua surirumah...... pastikan anda sentiasa menambah ilmu. Hanya dengan menuntut ilmu sahaja kita boleh mengubah kehidupan kita......
kerana ilmu itu adalah warisan para Nabi dan Rasul......

Rabu, 1 April 2009

Suri Idaman

Hari ini sudah genap 3 bulan aku menjadi surirumah professional. Atas pengalaman yang aku dapat daripada bekerja di sebuah organisasi yang besar. Aku juga ada KPI. Tetapi KPI ku bukanlah penentu yang aku akan mendapat bonus yang banyak mahupun mendapat kenaikkan pangkat. Ianya semata-mata untuk mengurangkan beban suamiku. Semoga tindakanku ini mendapat redha Ilahi.

KPI ku yang pertama adalah mengurangkan belanja. Salah satunya adalah memastikan bahawa bil air kami tidak perlu dibayar tiap-tiap bulan. Ini kerana kami rakyat Selangor mendapat bil air percuma sebanyak RM11. Aku hanya perlu pastikan tiada berlakunya pembaziran air jadi tiadalah bil air yang perlu dibayar. Kedua aku kena pastikan bahawa bil elektrik kami tidak melebihi RM40. So anak-anak ku perlu kurang menonton televisen aku berikan mereka aktiviti seperti berbasikal, mewarna buku dan juga membaca buku. Selain itu juga aku kena pastikan setiap kipas dan lampu akan padam bila orang tiada ada. Ini perlu untuk memastikan KPI ku tercapai.

Aku juga memastikan bahawa kami kurang berbelanja dipasar malam, pasar tani mahupun pasaraya bak kata orang setiap nama pasar perlu aku jauhi..... Pasar tani hanya nak beli barang basah dan kering begitu juga dengan pasar malam. Makan di pasar tani atau pasar malam hanya sekali sekala ataupun yang teringin sangat seperti capati atau satay. Yang lain tak boleh. Kalau ke pasaraya pun aku pastikan ada senarai barangan ditanganku dan hanya barangan dalam senarai sahaja yang boleh dibeli yang lain takat telan air liur jer laa.....

Untuk mencapi KPI mengurangkan belanja ini. Kami kena kurang makan diluar. So aku kena versatile dalam masakkan ku. Aku pun mencuba segala macam resipi yang aku dapat dari Elly dan internet. So bermacam-macam menulah yang aku buat seperti waffle, pizza, makaroni, nasi dagang, stew daging,roti garlic, puding roti, kek coklat, meehon singapore, tom yam, ikan kukus dan lain-lain. Anak ku paling gembira setiap kali aku cuba resipi baru. Baru-baru ini aku buat kek coklat sekali dengan hiasan princess di atasnya. Di jamunya rakan setaman. Esok aku buat waffle. Pesta waffle pun diraikan. Urut dada aku. Namun bila kenang-kenang yang Rasullah paling seronok dengan kanak-kanak. Setiap kali Rasulullah tidak sihat beliau memberi wang kepada kanak-kanak dan memohon agar mereka mendoakan kesihatan yang baik untuk beliau. Disebabkan aku ini tidak berduit jadi hanya makanan sahaja ler yang dapat ku jamukan kepada jiran-jiran tertangga dan kanak-kanak. Moga mendapat keberkatanNya.

Setakat ini dulu tentang KPI ku yang pertama iaitu mengurangkan belanja. Semoga Allah memberkati usahaku yang sedikit ini. Lain kali bersambung dengan KPI ku yang kedua iaitu menjana pendapatan untuk keluarga.

Sabtu, 14 Mac 2009

Basikal

Anakku yang sulung pernah berkata kepada ku "Ibu kakak malulah dengan Faris, dia umur 6 tahun dah pandai naik basikal roda dua, kakak darjah dua masih lagi naik basikal 4 roda". Aku hanya tersenyum sipu apabila mendengar kata-katanya. Dalam hatiku berdetik "Aik rasa tercabar jugak rupanya". Anakku jarang naik basikal lantaran kesibukan aku bekerja dulu selalu balik lewat sampai rumah paling awal maghrib. Hujung minggu sibuk dengan aktiviti lain hinggakan anakku tiada masa yang banyak untuk main basikal bersama kawan-kawannya.


Sekarang itu semua telah berlalu, kini setiap petang anakku akan naik basikal bermain bersama kawan-kawannya. Lalu aku berbincang dengan suamiku dan memintanya membuang dua roda kecil di basikal tersebut bagi merelisasikan impian anakku. Hampir setiap petang anakku akan berlatih naik basikal mula-mula aku kena pegang tempat duduk belakang dan dia mengayuh basikalnya. Bila tengok dia dah pandai mengimbangi badannya aku akan lepaskan peganganku. Acap kali juga dia jatuh sampai menangis. Tapi dia tak pernah putus asa masih terus belajar. Kini dia telah pun pandai mengayuh basikal beroda dua. Alhamdulilah, itulah rahmat buatku, anakku sudah pintar berbasikal roda dua.


Cuti Malidur Rasul yang lepas suamiku telah membelikan basikal untuk dirinya, aku dan Iman sementara kakak dapat tongkat basikal dan adik plak dapat tempat duduk rotan diletakkan dibasikalku. Saban petang kami sekeluarga berbasikal bersama2. Hinggakan ke Pasar Tani pun naik basikal satu keluarga. Yang pastinya basikal telah merubah kehidupan kami sekeluarga. Kakak dah kurang menonton tv gara-gara aktiviti berbasikal kami. Iman teruja kerana dapat basikal baru, Amal plak akan menjerit keseronokkan kerana dapat menunggang bersamaku.


Yang pasti berbasikal dapat menyihatkan badan. Berpeluh berbasikal keliling taman dengan membawa penumpang dua orang (Iman dan Amal). Yang penting sekali melihat keseronokkan diwajah anak-anakku terasa hilang lenguh dikakiku takala mengayuh basikal tersebut. Seronok dapat melakukan aktiviti bersama keluarga. Yang pasti basikal telah merubah kehidupan kami. Terima kasih bang, kerana telah membelikan basikal untuk kami semua, walaupun kakak hanya dpt tongkat basikal dan Amal dpt tempat duduk rotan yang pasti mereka seronok dengan aktiviti ini. Alhamdulilah semoga basikal ini dapat memberikan manfaat kepada kami sekeluarga. Amin.

Jumaat, 16 Januari 2009

Budak Lelaki Lambat Matang

Apa yang ingin saya ceritakan hanya berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang guru tadika. Boleh dikatakan saya lihat yang paling ramai menangis di tadika yang saya mengajar adalah budak-budak lelaki daripada 4 tahun sehinggalah ke 5 tahun. Tangisan mereka seolah-olah mereka kena pukul. Ada yang menghentak-hentak badan ke lantai, ada yang menendang-menendang cikgu dan ada juga yang menangis tak berhenti-henti daripada masuk kelas sehinggalah keluar kelas. Betullah seperti pendapat Dato' Fadzilah Kamsah yang menyatakan anak-anak lelaki lambat matang. Boleh dikatakan majoritinya budak-budak lelaki. Budak-budak perempuan hanyalah hari pertama persekolahan sahaja. Tetapi budak-budak lelaki sampai minggu yang kedua ini pun masih lagi menangis. Mereka perlukan perhatian lebih daripada budak-budak perempuan dan mereka cepat terasa hati daripada budak-budak perempuan. Kadang-kadang rasa tak tahu macam-mana nak layan. Bila dibiarkan menangis, tangisan mereka tak berhenti sehingga menganggu rakan-rakan yang lain hendak belajar. Kadang-kadang ianya membuat saya terfikir "Layakkah saya menjadi pendidik". Saya kurang tegas dengan mereka. Ada dua tiga orang yang suka mencubit rakannya. Bila ditegur menjawab tak nak kawan cikgu.... Tapi saya biarkan. Minggu depan saya nak cuba skill baru untuk menjadi lebih tegas. Moga-moga eksperimen saya berjaya.

Khamis, 8 Januari 2009

PENGALAMAN MENGAJAR DI TADIKA

Tahun ini bermulanya episod baru di dalam kehidupan saya sebagai seorang pendidik. Anak-anak didik saya hanyalah anak-anak kecil yang berumur 4 tahun dan 5 tahun. Seramai 11 orang untuk 4 tahun dan 18 orang untuk 5 tahun. Saya diberi amanah untuk mengajar Bahasa Melayu, Jawi, Arab, Agama dan Iqra untuk tahun 4 sekaligus merangkap sebagai guru kelas mereka. Untuk 5 tahun pula saya hanya mengajar Bahasa Melayu dan Jawi. Ini saya ceritakan kisah anak-anak didik saya yang berumur sekitar 4 tahun. Yang pertama Amir dari hari pertama sehinggalah hari ketiga tidak berhenti menangis. Hari pertama nak susu setelah diberikan susu nak buai. Dipujuk-pujuk tidak juga redha. Lalu saya biarkan sahaja dia baring dikelas. Tapi satu saya puji Amir dalam menangis dia tetap memberitahu saya apabila dia terasa nak buang air kecil. So itulah yang hebat tentang Amir. Hari kedua begitu juga. Hari ketiga pukul 10.30 setengah baru berhenti menangis itupun setelah dimainkan CD lagu kanak-kanak. Hari keempat saya pun mainkan lagu CD kanak-kanak kepunyaan anak-anak saya. Saya tersenyum sendirian apabila melihat Amir ikut sama menangis serta melakukan gerak-geri yang saya tunjukkan. Lagu kadang-kadang dapat menenangkan emosi anak-anak yang meragam. Amir ikut segala arahan saya malahan itulah hari pertama yang saya nampak dia tidak meminta susu apatah lagi buaian untuk tidur. Leganya rasa. Anak-anak murid saya yang lain seperti Irfan-yang kecil sekali suka bercerita tentang Ben 10 dan Ultraman , Irdina - manja, bijak dan sukakan perhatian, Aqil-paling suka tersenyum, setiap soalan dijawab dengan senyum yang manis, Izzat-paling pendiam, bila ada aktiviti paling tidak suka ikut serta namun bila diberikan perhatian baru ada perubahan, Aina-kawan baik Izat, rajin, pendiam dan susah nak dengar suara namun boleh dikembangkan lagi, tapi bila masa bercerita dia pendengar yang paling setia, Aryna-pendiam dan rajin menolong cikgu agak meriah duduk sebelah Irdina, Fitri-yang paling nakal dikelas, suka mengusik kawan namun perlu tegas barulah dia ikut arahan, Aiman-yang paling manja dan nak perhatian sepenuhnya, Khadijah-bijak dan suka ikut arahan dan Aniq-yang paling bijak dan suka komen. Itulah serba sedikit tentang anak didik saya. Yang pasti setiap mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Mereka berlumba-lumba ingin mendapat perhatian saya. Saya umpama gula yang dihurungi semua. Ada yang naik dibelakang, tidur di riba dan berebut nak duduk diriba. Yang pastinya anak-anak adalah anugerah Allah mereka adalah penyeri kehidupan semua ibubapa dan setiap mereka ada kelebihan masing-masing. Hari ini ulang tahun Aina dan Aryna 9/1/2009. Selamat Ulang Tahun Anak-Anak Didikku. Moga kalian menjadi insan yang kamil didunia dan akhirat. Itulah harapan daripada cikgumu ini.