Jumaat, 29 Mei 2009

muliakan jiran dan tetamu


Besar ganjaran yang Allah berikan kepada mana-mana hambanya yang memuliakan jiran dan tetamu berdasarkan kepada hadis berikut :- Hadis dari Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “ Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan kebaikan ataupun diam, Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya, Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya “ Riwayat Bukhari dan Muslim.

Apa yang ingin saya kongsikan adalah kelebihan yang diperolehi dengan memuliakan jiran dan tetamu. Baru-baru ini iaitu pada 9/5/2009 rakan saya dan suami iaitu Tuan Haji Ramlan bercadang datang ke rumah untuk menceritakan tentang STG. Lalu saya pun memasak jaudah ringan untuk hidangan tetamu serta jiran tetangga untuk sarapan pagi. Saya menjemput jiran tetangga kami yang kenal dengan Tuan haji. Dalam lebih kurang 7 orang yang datang semuanya. Keesokkannya saya menjamu jiran tetangga yang lain pulak untuk sarapan pagi. Tengahhari itu datang pulak salah seorang ahli kumpulan Al-Munawarah iaitu kelab yang baru saya sertai iaitu awal bulan ini. Banyak faedah yang dapat dengan menjadi ahli kelab ini iaitu ceramah agama, kelas jahitan, kelas masakan, hadiah hari lahir, hadiah hari ibu dan lain-lain. Untuk dapat hadiah saya perlu sah menjadi ahli dalam masa 3 bulan. Ahli kelab ini adalah surirumah belaka. Berkat daripada memuliakan jiran dan tetamu maka saya mendapat hadiah 3pc towel set daripada aussino serta sekuntum bunga. Sesungguhnya di dunia lagi Allah telah menunjukkan keberkatan dengan memuliakan jiran serta tetamu apatah lagi ganjaran yang menunggu umat Islam di Akhirat kelak untuk sesiapa yang memuliakan tetamu dan jirannya. Ambillah kesempatan daripada hadis di atas dengan sentiasa memuliakan tetamu dan jiran.

Sabtu, 9 Mei 2009

Pengorbanan Tiada Tolok Bandingan



Hari ini aku didakap oleh anakku sambil mengucapkan "Selamat Hari Ibu". Hatiku terasa terusik lantaran aku tidak bisa lagi merasai pelukan ibuku apatah lagi mendengar suaranya memanggil namaku "Adik!Adik!Adik". Ya!Allah berilah aku kekuatan menghadapi musibah ini dan moga-moga aku redha dengan takdir yang menimpa diri ibuku.

Ibuku sudah terlantar sakit terbaring tanpa boleh bergerak dan bercakap. Lebih kurang 4 tahan 8 bulan ibuku sakit akibat "stroke" kerana sakit darah tingginya. Ini menyebabkan ibuku lumpuh seluruh badan buat kali kedua. Waktu serangan pertamanya iaitu 22/9/2002 hanya sebelah kanan sahaja boleh bergerak. Kena serangan yang kedua terus ibuku tidak boleh bergerak lagi. Ibuku juga makan melalui tiub yang dimasukkan terus ke dalam perut. Ibuku tidak dapat merasai nikmat makanan kesukaannya seperti puding karamel dan juga putu bambu. Apa yang ibuku makan hanyalah nasi yang diblend, susu ensure dan cereal sipirulina. Air kencing ibuku juga disalurkan melalui tiub. Setiap kali orang melawat ibuku mereka kata seumpama mayat hidup.... Meruntun hatiku bila dengar orang berkata begitu. Namun aku yakin Ibuku adalah insan terpilih kerana itulah Allah memberinya sakit sedemikian rupa. Bak kata ustaz ada 2 golongan yang Allah memberi sakit sedemikian rupa:-
1). Ianya mengampunkan dosanya dan juga meningkat iman ahli keluarganya
2). Ingin mengangkat darjatnya keperingkat tertinggi di mana setiap doanya makbul.
Aku pasti ibuku termasuk dalam kedua-dua golongan. Insya-Allah.

Apa yang ku sedihkan kerana ibuku tidak dapat meluahkan perasaannya kepada kami umpama "Jasad Terpenjara Jiwa Terseksa". Orang lain sibuk membeli hadiah untuk ibuku. Aku hanya memikirkan cukup tak bekalan pampers ibuku, bekalan susunya dan juga cerealnya. Sudah tukar baru tiub ibuku. Itu sahaja yang terlintas di kepala otakku. Tiada bunga atau makan malam yang dapat ku hadiahkan kepada ibuku. Hanya titipan doa semoga ibuku sihat seperti biasa.

Sempena Hari Ibu nie (tiap-tiap hari, hari ibu) ambillah kesempatan mengunjungi ibu bukan wang ringgit yang diharapkan hanya sedikit masa dan perhatian tanda kasih kita kepada ibu. Buat mereka yang tiada ibu, panjatkanlah doa setiap kali solat semoga ibu kalian ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Kepada ibu, walaupun ibu tidak boleh meluahkan kata-kata, namun anakmu yakin ibu pasti mengerti apa yang berlaku disekeliling ibu. Maafkan anakmu ini buat yang kesekelian kali kerana tidak dapat menjadi anak yang terbaik. Semoga Allah memberi kekuatan kepada ibu untuk menghadapi setiap dugaan dan memberikan kekuatan kepada anak-anakmu semua menghadapi dugaan ini. Semoga Allah memberi peluang kepada saya untuk menjadi peneman ibu di Makkah Al-Mukaramah tahun ini (sebagai hadiah hari ibu). Ya!Allah sembuhkan Ibuku seperti sediakala agar aku biasa menjadi penemannya untuk menjadi tetamumu yang paling istimewa.

Selamat Hari Ibu kepada semua Ibu-Ibu di dunia dan sesungguhnya pengorbanan kalian tiada bandingannya. Dan sesungguhnya setiap hari adalah hari Ibu. Ibukan seperti matahari. Ibulah penyeri hidup kami.

Selasa, 5 Mei 2009

Makbul Doa



Aku masuk kelas seperti biasa mengajar murid-murid 3 dan 4 tahun. Tiba-tiba hujan dengan lebatnya. Aku pun merenung anak-anak muridku lalu berkata "Habis basahlah baju yang cikgu baru jemur pagi tadi". Salah seorang anak muridku iaitu Izat berkata "Cikgu baliklah angkat kain dulu". Aku pun berkata "Jauh ler rumah cikgu, kalau cikgu balik pun mesti baju dah basah".

Apa kata kita berdoa kepada Allah dan doa supaya hujan berhenti. Lalu anak-anak muridku pun menadah tangan ke langit dan berdoa. "Ya!Allah biarlah hujan berhenti supaya baju cikgu kering. Amin" dan mereka pun mencium tangan masing-masing. Tidak sampai 2 minit hujan pun berhenti dan matahari pun keluar dengan terang benderangnya... Dalam hatiku pun berkata-kata.. "Alhamdulilah makbul doa mereka yea".

Habis kelas dalam sekitar pukul 11.15 pagi aku pun balik rumah. Sesampai aku dirumah aku pun bertanya auntie selang sebuah rumah(Cina)yang sedang menjemur kainnya "Auntie tadi hujan ker" Aku bertanya kerana musykil memandangkan semua baju yang ku jemur tadi kering belaka malahan siap jatuh ke lantai lagi. "Hujan tapi kejap sahaja, Auntie nak angkat tapi pintu pagar kunci" Lihatlah betapa prihatinnya jiran cinaku ini.

Aku pun termenung sekejap bukankah tadi anak-anak muridku sudah doakan. Aku teringat kisah Nabi Muhammad s.a.w. Setiap kali beliau berasa badannya tidak sihat, beliau pasti memberikan wang kepada kanak-kanak sambil meminta agar mereka mendoakan beliau sihat kembali. Mereka suci dari dosa dan pasti doa mereka makbul. Bukankah salah satu keadaan yang makbul doanya bila hujan turun lebat. Ustaz juga ada menyatakan Allah suka kepada mereka yang mencium tangannya selepas berdoa walaupun tangan kita berbau ikan.... Anak-anak muridku mencium tangan mereka selepas berdoa.... Aku pasti doa mereka makbul kerana mereka adalah anak-anak yang suci bersih.

Namun sekiranya kita berdoa dan doa kita makbul itu tandanya Allah sayang kepada kita, Sekiranya doa kita tidak makbul, tandanya Allah sedang menguji kita untuk meningkatkan iman kita. Yang pasti apa yang baik pada pandangan kita belum tentu ianya baik untuk kita, dan tidak semestinya sesuatu yang tidak baik pada pandangan kita adalah tidak baik untuk kita. Allah pencipta kita pasti Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita selaku hambanya. Bersangka baik dengan Allah Rabulallamin.