Ahad, 30 November 2008

Tiada Alasan Untuk Tidak Membaca Al-Quran

Ceramah bertajuk Al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Norazan amat menyentuh hatiku. Ini kerana aku merupakan hamba Allah yang boleh dikira dengan jari berapa kali aku membaca Al-Quran. Aku membaca apabila perlu sahaja contohnya bila ada kematian dan bila datangnya bulan Ramadhan itupun tak pernah khatam sehingga datangnya Ramadhan yang lain pula. Betapa malunya aku bila mengenangkan kelemahan diri ini. Sedangkan aku tahu bahawa Al-Quran itu adalah kalam Allah. Yang diturunkan melalui Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad S.A.W. Bahkan Nabi sewaktu diturunkan wahyu pertama, beliau berumur 40 tahun. Beliau merupakan seorang yang buta huruf iaitu tidak tahu membaca dan menulis. Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Sedangkan aku sudah berumur 33 tahun masih lagi tidak lancar membaca Al-Quran. Bila teringat ayat-ayat yang dibacakan oleh Ustaz Norazan hatiku menjadi sayu. Ini kerana ayat Al-Quran tersebut adalah adalah ayat yang cukup memberi impak kepada diriku yang jahil ini. Iaitu ayat yang mula sekali Allah turunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. adalah Surah Al-Alaq (ayat 1-5) yang bermaksud "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia (Allah) telah menciptakan manusia daripada seketul darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia (Allah) mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Ini jelas menunjukkan bahawa ayat di atas merupakan satu seruan untuk umat manusia belajar membaca Al-Quran supaya kita memperolehi ilmu yang kita tidak ketahui dan ilmu tersebut terkandung di dalam Al-Quran. Aku ini jahil tentang ilmu Allah bahkan ilmu dunia pula serba kekurangan tetapi tidak pernah cuba membaca Al-Quran saban hari. Justeru itu aku berazam untuk membaca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh untuk meningkat pretasi diriku.
Ayat yang kedua iaitu ayat Al-Muzzammil ayat 20 panjang ayatnya namun aku hanya memetik yang berkaitan dengan Al-Quran yang bermaksud "Allah mengetahui bahawa kamu sekali-kali tidak dapat menentukan batas-batas waktu-waktu itu, maka Dia memberi keringanan kepadamu, kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al-Quran."
Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa Allah menekankan kita untuk membaca Al-Quran dan Allah juga memberikan keringanan kepada kita untuk membaca mana-mana ayat daripada Al-Quran yang senang dan mudah untuk kita fahami. Tetapi aku bila baca Surah Al-Baqarah bermacam-macam alasan yang diberi seperti panjang lah nak baca. Padahal Allah telah pun memberikan kelonggaran untuk aku membaca mana-mana ayat yang mudah untuk diriku dan untuk aku amalkan. Malunya aku bila mengenangkan kelemahan diri ini sering memberi seribu satu macam alasan untuk tidak membaca Al-Quran.
Ayat yang ketiga adalah Surah Yunus ayat 16 yang bermaksud "Katakanlah: "Jikalau Allah menghendaki, niscaya aku tidak membacakannya kepadamu dan Allah tidak (pula) memberitahukannya kepadamu". Sesungguhnya aku telah tinggal bersammu beberapa lama sebelumnya. Maka apakah kamu tidak memikirkannya."
Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa Allah menurunkan Al-Quran untuk kita mengambil iktibar terhadap perkara yang telah berlaku sebelum penurunan Al-Quran, sewaktu penurunan Al-Quran dan peristiwa yang akan datang. Ini semua dicatatkan di dalam Al-Quran. Tetapi aku lebih senang memikirkan kata-kata orang daripada kata-kata Allah. Aku lebih berpegang kepada janji manusia daripada janji Allah. Seharusnya aku membuatkan hati untuk berpegang hanya kepada janji Allah. Alangkah malunya aku bila mengenangkan diri yang serba kekurangan ini. Aku seharusnya menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dalam menjalani kehidupanku sehari-harian. Ya!Allah moga-moga aku tidak terlewat untuk menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidupku secara total.
Ayat ke4 pula adalah Surah Al-Furqaan ayat 30 yang bermaksud "Berkatalah Rasul: "Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Quran ini suatu yang tidak diacuhkan". Ini kena mengena dengan diriku yang memandang ringan dengan Al-Quran. Aku lebih menitik beratkan pandangan orang daripada pandangan Allah. Aku lebih bersandarkan pendapat orang daripada pendapat Allah. Ya!Allah moga-moga aku tidak terlewat untuk mengambil iktibar daripada Al-Quran. Moga-moga aku menjadi golongan yang memartabatkan Al-Quran sebagai pedoman kehidupanku sehari-harian. Al-Quran ini adalah mukjizat daripada Allah yang diperlihara sehingga ke hari kiamat. Hanya dengan memandang Al-Quran tanpa membacanya sudah dianggap ibadah. Apatah lagi bila membacanya pasti pahalanya berlimpah ruah bahkan kita akan mendapat suatu ketenangan dengan membaca Al-Quran.
Mulai hari ini, aku berazam untuk membaca Al-Quran dengan lancar dan memahami isi-kandungannya untuk dijadikan amalan dalam sehari-harian. Semoga Allah permudahkanku lidahku untuk lancar membaca kalimahNya dengan tajwid yang betul serta dapat memahami isi-kandungnya untuk menjadi insan yang solehah. Amin!Amin!Amin!.

Tiada ulasan: