Khamis, 6 November 2008

LAMBAIAN KAABAH

Hari ini 6/11/2008, di tempat saya di adakan ceramah mengenai Ibadat Haji yang disampaikan oleh Ustaz Dato' Abu Hassan Din.
Saya tertarik mengenai sejarah Ibadat Haji. Bermula daripada Wuquf di Arafah, Saie di Bukit Safa dan Marwah, Melontar di Jamrah Al-Ula, Al-Wusta dan Al-Aqabah dan juga tawaf di Baitullah.
Ibadat haji ini bermula daripada zaman Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim berasal dari Kampung Babil yang terletak di dalam negara Iraq. Beliau telah menyeru kaumnya untuk memeluk agama Islam namun mereka ingkar kepada seruannya lalu alu beliau pun berhijrah ke Palestin.
Di Palestin beliau telah berkahwin dengan Siti Sarah. Hampir 50tahun setelah berumahtangga, beliau masih lagi tidak dikurniakan zuriat namun beliau tidak berhenti-henti berdoa kepada Allah. Suatu malam ketika Nabi Ibrahim berdoa, terdengarlah Siti Sarah akan doa suaminya itu. Tahulah Siti Sarah bahawa Nabi Ibrahim benar-benar menginginkan seorang anak. Beliau pun merelakan Nabi Ibrahim berkahwin lagi.
Maka berkahwinlah Nabi Ibrahim dengan Siti Hajar. Siti Hajar asalnya dari Mesir. Berkat kesungguhan doa Nabi Ibrahim, Allah telah mengurniakan seorang zuriat lelaki yang diberi nama Nabi Ismail. Melihat kelahiran Nabi Ismail telah menimbulkan perasaan cemburu di dalam hati Siti Sarah lalu beliau merayu kepada Nabi Ibrahim agar dibawa Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail jauh dari pandangan beliau.
Maka berdoalah Nabi Ibrahim agar diberi petunjuk tempat yang sesuai untuk diletakkan anak dan isterinya. Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim agar tidurlah dan serahkan perkara itu kepada Allah. Lalu Nabi Ibrahim pun menunggang unta bersama dengan Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail. Selama 40 hari unta berjalan tanpa berhenti sehinggalah sampai di Mekah berhentilah unta tersebut. Tahulah Nabi Ibrahim inilah tempat yang dikehendaki oleh Allah untuk menempatkan isteri dan anaknya.
Ketika Nabi Ibrahim bertolak hendak meninggalkan Siti Hajar dan anaknya Ismail untuk pulang ke Palestin. Berkejarlah Siti Hajar ke sisi Nabi Ibrahim dan bertanya kepada suaminya "Kepada siapakah kami hendak ditinggalkan kerana tiada seorang pun disini yang ada hanyalah padang pasir". Lalu jawab Nabi Ibrahim "Kepada Allah". Allah telah merakam kata-kata Nabi Ibrahim dalam surah Ibrahim ayat 37 yang bermaksud "Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan shalat, maka jadikan hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.
Maka redha Siti Hajar apabila mendengar kata-kata suaminya. Bertolaklah Nabi Ibrahim ke Palestin. Saie bermula daripada perbuatan Siti Hajar mencari-cari air untuk anaknya Nabi Ismail yang menangis kerana kelaparan. Berlarilah Siti Hajar dari Bukit Safa ke Bukit Marwah, Bukit Marwah ke Bukit Safa semula sebanyak 7X semata-mata untuk mencari air buat anaknya Nabi Ismail. Ditakdirkan Allah keluarlah air dari bawah tapak kaki Nabi Ismail lalu berkatalah Siti Hajar "Zam-Zam" yang bererti berkumpul.
Beberapa tahun kemudian apabila Nabi Ismail telah baligh barulah Nabi Ibrahim datang semula ke Mekah untuk mencari isteri dan anaknya yang telah lama ditinggalkan. Namun keadaan di Mekah telah jauh berbeza daripada asalnya. Ini menyebabkan Nabi Ibrahim berhenti di Arafah untuk memikirkan arah mana beliau telah lalui sewaktu datang meninggalkan isteri dan anaknya. Setelah meningati arah tersebut menjelang malam barulah beliau bertolak semula. Di sini rukun haji iaitu Wuquf di Arafah bermula iaitu berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dari gelincir matahri hari kesembilan Zulhijjah hingga terbit fajar hari yang kesepuluh Zulhijjah.
Maka berjumpalah Nabi Ibrahim dengan isteri dan anak yang telah lama ditinggalkan. Pada malam pertama Nabi Ibrahim tidur beliau telah bermimpi yang beliau telah menyembelih Nabi Ismail. Selama 3 malam berturut-turut beliau bermimpi mimpi yang sama lalu berkatalah Nabi Ibrahim kepada Nabi Ismail "Wahai anakku, aku telah bermimpi yang aku telah menyembelihmu. Apakah pendapatmu mengenai perkara ini?. Berkata Nabi Ismail "Sekiranya ayah yakin itu perintah Allah maka laksanakanlah ia dan aku akan termasuk dalam golongan yang sabar". Walaupun ibadat korban tidak ada kena mengena dengan ibadat haji tapi sejarahnya berkaitan.
Apabila Siti Hajar mengetahui bahawa Nabi Ibrahim ingin menyembelih anaknya maka merayulah Siti Hajar agar Nabi Ismail ini dibawa jauh dari baitullah. Ini supaya sewaktu upacara penyembelihan dilakukan nanti beliau tidak akan mendengar jeritan Nabi Ismail. Maka Nabi Ibrahim pun membawa Nabi Ismail ke Mina untuk dilakukan penyembelihan. Sepanjang perjalanan menuju ke Mina syaitan cuba menghasut Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail agar tidak melakukan penyembelihan tersebut. Tempat pertama syaitan cuba menghasut adalah di Jamrah Al-Ula, lalu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pun mengambil batu dan melontarkan kepada syaitan tersebut. Tempat kedua pula adalah di Jamrah Al-Wusta lagi sekali Nabi Ibrahim mengambil batu dan melontarkan kepada syaitan. Akhir sekali di Jamrah Al-'Aqabah di situ jugalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail membaling batu ke arah syaitan. Tujuan melontar batu tersebut adalah hendak menghalang syaitan daripada menghasut mereka daripada melakukan perintah Allah. Begitulah sejarah melontar bermula dengan Jamrah Al-Ula, diikuti dengan Jamrah Al-Wusta dan akhiri sekali Jamrah Al-'Aqabah. Sebagai ganti ke atas kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam mentaati perintah Allah, Allah telah menggantikan kibas daripada syurga sebagai ganti Nabi Ismail.
Rukun Tawaf pula bermula apabila Allah memerintahkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail meninggikan dinding Kaabah. Lalu Nabi Ibrahim telah naik ke atas batu yang boleh turun dan naik dengan sendiri seperti "forklift" untuk mengangkat Nabi Ibrahim ke atas dan ke bawah. Batu tersebut dipanggil "Makam Ibrahim" dan boleh dilihat di Mekah. Ianya merupakan salah satu mukjizat yang masih dapat kita saksikan sehingga ke hari ini. Setelah selesai Nabi Ibrahim membina dinding tersebut, maka Nabi Ibrahim pun pusing 7 kali untuk memastikan bahawa kaabah telah dibina dengan sempurna.
Begitulah cerita serba-sedikit mengenai sejarah haji. Ternyata haji ini lahir daripada kesusahan yang dialami oleh Nabi Ibrahim yang diuji oleh Allah untuk mengetahui kesabarannya begitu juga Siti Hajar dan Nabi Ismail. Sesungguhnya tujuan kita pergi haji adalah untuk memperolehi pahala sebanyaknya dan menghapuskan segala dosa agar kita balik ke fitrah asal iaitu suci daripda dosa. Oleh yang demikian moga-moga kita akan dapat menghayati ibadat haji dengan sempurna bila kita telah mengetahui tentang sejarahnya. Kepada semua bakal jemaah haji moga-moga tuan/puan akan beroleh Haji Mabrur. Kepada yang belum pergi, bulatkanlah tekad untuk menunaikan haji di Mekah, nescaya Allah akan permudahkan. Insya-Allah.

1 ulasan:

~ Pe4RL ~ berkata...

Sarah,

hang tak join facebook ker? It's tseh lah... AKu rindukan ko... Muahzzz.. Baru tau Azemi tu hubby hang... Selamat berjumpa kembali...:*